Kampung-kampung Baru merupakan penempatan manusia yang diwujudkan semasa zaman darurat di mana ia merupakan satu strategi ketenteraan di bawah Rancangan Briggs (1948-1960) bagi mengatasi ancaman pengganas komunis pada ketika itu. Keadaan ini telah menyebabkan kawasan kampung ditubuhkan tanpa perancangan dan secara tergesa-gesa kerana penduduk-penduduk di kawasan terpencil atau kawasan yang berada dalam ancaman komunis dipindahkan ke suatu kawasan baru. Ini secara tidak langsung mengakibatkan pelbagai masalah timbul di mana infrastruktur asas seperti jalan dan longkang berada dalam keadaan daif dan sangat tidak sempurna.
Menyedari hakikat ini, Kerajaan telah menubuhkan Bahagian Kemajuan Perkampungan untuk bertanggungjawab dalam pembangunan Kampung Baru. Dalam usaha untuk meningkatkan kualiti hidup penduduk di Kampung-kampung Baru, Kerajaan pada tahun 1986 telah menaik taraf pembangunan Kampung Baru daripada aktiviti kecil kepada satu program yang berasingan.
Pada tahun 1989, Bahagian Kemajuan Perkampungan dipindah dan diletakkan di bawah Bahagian Kerajaan Tempatan memandangkan tugas-tugas dan tanggungjawab Bahagian ini mempunyai hubungan baik secara langsung atau tidak langsung dengan kerajaan tempatan. Bahagian Kemajuan Perkampungan telah distruktur semula dan diubah nama kepada Bahagian Kampung Baru pada tahun 2007 sebelum dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri berkuat kuasa 7hb Julai 2014 atas kepentingan umum. Berikutan pembentukan Kerajaan baharu, Bahagian Kampung Baru telah dipindah semula dan diletakkan semula di bawah seliaan Jabatan Kerajaan Tempatan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Pada ketika ini, Bahagian Kampung Baru merupakan salah satu agensi di bawah Jabatan Kerajaan Tempatan dengan kekuatan sebanyak 33 jawatan dan mempunyai 2 unit iaitu Unit Pembangunan Sosial dan Unit Pembangunan Fizikal.