KAMPUNG BARU MACHAP BARU

  • Posted on: 15 November 2019
  • By: webadmin2

Machap Baru merupakan Kampung Baru Cina yang terbesar di Melaka. Jarak dari bandar ke kampung ini adalah lebih kurang 20 km. Kampung ini mempunyai sejarahnya yang tersendiri dan masih mengekalkan keadaan asal semasa kampung ini ditubuhkan kerana ruang pembangunan yang terhad disebabkan ia terletak di sebelah empangan air.

Kampung Baru Machap Baru masih mengekalkan makanan tradisi etnik Hakka disebabkan majoriti penduduknya adalah terdiri daripada orang Hakka. Pengunjung dapat menikmati rasa makanan tradisi Hakka yang tiada di bandar khususnya “Lei Cha” (ground tea). Masakan “Lei Cha” di sini dihasilkan menggunakan bahan-bahan tempatan sepenuhnya terutamanya daun teh yang dihasilkan di ladang teh di kampung ini.

Kilang Roti Kenn Guan Hiong mempunyai sejarah lebih daripada 70 tahun dan ia merupakan kilang roti pertama yang menghasilkan roti kok di Machap Baru. Roti Kok dihasilkan dengan membakar roti segar sebanyak 2 kali, menjadikannya rangup dan sedap serta amat sesuai dimakan bersama kopi panas. Bau aroma roti dibakar yang dapat dihidu sebaik memasuki kampung merupakan memori penduduk kampung dari generasi ke generasi.

Masjid Datuk Machap merupakan masjid yang mempunyai sejarah melebihi seratus tahun. Reka bentuk seni bina masjid ini mempunyai unsur-unsur arkitek Cina di mana dindingnya terdapat monumen yang didirikan pada zaman dinasti Ching serta diukir nama-nama orang yang menyumbang untuk membina masjid ini. Monumen ini merupakan bukti-bukti masyarakat pelbagai kaum pada ketika itu yang hidup secara aman dan damai.