Konvensyen Pemerkasaan MPKK

KONVENSYEN PEMERKASAAN MAJLIS PENGURUSAN KOMUNITI KAMPUNG (MPKK) KAMPUNG BARU

 

Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menganjurkan Konvensyen Pemerkasaan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Baru pada 27 dan 28 April 2019 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya. Konvensyen ini diadakan selaras dengan hasrat KPKT untuk memperkasakan peranan dan tanggungjawab MPKK dalam pentadbiran dan pembangunan Kampung Baru di seluruh negara. Kampung Baru adalah merupakan kampung-kampung yang ditubuhkan di bawah Ordinan Kecemasan (Rancangan Briggs). Selaras dengan peredaran masa, kini terdapat 613 buah Kampung Baru termasuk kampung bagan dan rangkaian.

Konvensyen selama 2 hari ini menghimpunkan hampir 800 orang pengerusi dan setiausaha MPKK Kampung Baru dari seluruh negara. YB Puan Hajah Zuraida binti Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah menutup konvensyen ini pada 28 April 2019.

Seramai 15 orang tokoh pembentang yang berpengalaman telah mengupas isu-isu sosial, ekonomi dan pembangunan melalui sesi perbincangan panel dan taklimat. Kesemua topik adalah menjurus kepada lapan (8) fokus utama iaitu:-

  1. sejarah dan hala tuju kampung baru;
  2. dasar komuniti negara;
  3. pemberdayaan wanita;
  4. pengurusan keselamatan;
  5. pendidikan, kesenian dan kebudayaan;
  6. bantuan kewangan komuniti;
  7. pengurusan alam sekitar komuniti; dan
  8. pemerkasaan peranan dan tanggungjawab MPKK.

Antara tokoh-tokoh yang hadir berkongsi pengalaman adalah Yang Berhormat Ng Sze Han, Pengerusi Tetap Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dam Pembangunan Kampung Baru Negeri Selangor dan Yang Berhormat Ginie Lim, Pengerusi Tetap Jawatankuasa Wanita, Hal Ehwal Kebajikan dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Melaka.

Melangkah ke hadapan, KPKT ingin melihat MPKK lebih aktif untuk berinteraksi dengan komuniti kampung dan dapat memainkan peranan yang signifikan dalam usaha melibatkan masyarakat dalam bersama-sama membangunkan negara. Adalah diharapkan selepas konvensyen ini, MPKK Kampung Baru dapat melaksanakan tanggungjawab dengan cekap, berkesan, berintegriti dan berakauntabiliti, di samping sentiasa berkhidmat untuk menjamin kesejahteraan komuniti kampung.

Teks Media disediakan Oleh :  Unit Komunikasi Korporat , Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan